Dewan Perniagaan Melayu Malaysia telah ditubuhkan pada 1957 di bawah nama ‘Gabongan Dewan-Dewan
Perniagaan Melayu Se Malaya (GDPMM)’ dengan nombor pendaftar “1101 Selangor”.
Sejarah pembentukan gabungan bermula seawal tahun 1938. Persatuan peniaga peniaga Melayu di Kelantan menubuhkan Dewan Perniagaan Melayu Kelantan pada tahun yang sama. Langkah yang dirintis oleh Dewan Perniagaan Melayu Kelantan kemudiannya diikuti dengan Penubuhan Dewan Perniagaan di negeri-negeri yang lain.
Pada tahun 1974, melalui langkah penstrukturan, ia telah ditukar kepada Dewan Perniagaan dan Industri Melayu Malaysia. Nama tersebut kemudiannya telah dirombak kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, DPMM pada tahun 1992.
Mulai 2020, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia menggunakan singkatan “DEWAN MELAYU” sejajar dengan visi dan misi yang diperbaharui.
Berpaksikan sebuah badan bukan politik, dan berfungsi sebagai badan bukan kerajaan, DEWAN MELAYU telah diurus tadbir oleh usahawan Melayu yang terdiri daripada pelbagai saiz dan sektor perniagaan di Malaysia. DEWAN MELAYU merupakan badan amanah induk ekonomi Melayu dan berpengaruh bukan sahaja terhadap ahlinya, malah kepada seluruh komuniti perniagaan Melayu.
DEWAN MELAYU juga bergerak seiring dengan Dewan Perniagaan lain di dalam Dewan Perniagaan dan Industri Nasional Malaysia (NCCIM) di samping Dewan-Dewan Perniagaan lain di Negara. “The Future Begins Tonight” yang telah dilancarkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada tanggal 29
Januari 2018, adalah titik tolak persiapan DEWAN dalam membawa matlamat naratif baharu ekonomi Melayu.
Sehingga kini terdapat 15 cawangan di seluruh Malaysia termasuk di Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, yang menghubungkan keseluruhan komuniti perniagaan melalui perkongsian perkhidmatan, maklumat dan bimbingan kepada ahlinya.
DEWAN MELAYU turut menyediakan ruang luas kepada Syarikat Kecil dan Sederhana khususnya, di samping industri lain bagi melaksanakan jaringan perniagaan, pembangunan usahawan serta panduan perniagaan di kalangan komuniti.
DEWAN MELAYU terus memperjuangkan misi mengangkat maruah dan martabat bangsa Melayu dalam ekonomi Negara dan antarabangsa. Imej, peranan dan keberkesanannya semakin diakui oleh pemimpin Negara. DEWAN MELAYU juga turut diminta membantu kerajaan terutamanya dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan masyarakat pengusaha dan peniaga Melayu. DEWAN telah diberi kepercayaan untuk menjadi sekretariat yang memandu dan memantau ekonomi Melayu dengan tertubuhnya Sekretariat Agenda Ekonomi Melayu (SAEM). Di samping itu, DEWAN juga telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan untuk menganjur Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat (KEB4) pada 10 dan 11 September 1999. Selain daripada itu, hasil perjuangan berterusan DEWAN ialah membela nasib usahawan Melayu yang terjejas akibat kemelesetan dan kegawatan ekonomi Malaysia. Maka lahirlah Tabung Pemulihan Usahawan (TPU) dan Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB) lanjutan daripada memorandum DEWAN MELAYU kepada pemimpin Negara.
DEWAN MELAYU adalah sebuah organisasi yang berjuang demi menyatupadukan peniaga dan pengusaha Melayu untuk kepentingan dan faedah ekonomi Melayu. Tujuan DEWAN MELAYU adalah seperti berikut:-
- Menyatupadukan peniaga dan ikhtisas Melayu untuk kepentingan dan faedah ekonomi Melayu
- Meningkatkan maruah dan kecemerlangan bangsa Melayu khususnya dalam bidang ekonomi diperingkat negeri, negara dan antarabangsa
- Menjadi wadah perjuangan ekonomi bangsa Melayu
- Mempastikan terjaminnya kepentingan Ahli di dalam undang-undang yang digubal atau dipinda di Malaysia yang berkaitan dengan perniagaan
- Menentukan aktiviti DPMM Negeri dan Ahli Bergabung adalah selaras dengan asas dan tujuan Dewan
- Menerbitkan majlah dan risalah, serta menyediakan laman web yang berkaitan dengan perniagaan.
- Membantu atau mewakili Ahli di dalam perbincangan berkenaan perdagangan, pembelian, penjualan dan lain-lain sama ada di dalam atau luar Malaysia
- Membuat perhubungan atau kerjasama dengan lain-lain badan atau persatuan yang mempunyai tujuan yang sama dengan Dewan
- Membeli, menjual, menggadai, memajak, memiliki, menyewa, pindah hak milik, menyerah, memaju dan membuat lain-lain urusan yang bersangkutan dengan harta alih dan tak alih